Seorang anggota polis maut selepas kereta peronda yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 297.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara, kira-kira jam 2 pagi tadi.
Mangsa yang bertugas di JSPT Bukit Aman itu dikenali sebagai Koperal Dommy Tugok, berusia lingkungan 30-an, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke pembahagi jalan akibat pelanggaran.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at, mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap sebuah bas di laluan kecemasan.
Kemalangan tersebut berlaku apabila sebuah SUV yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun hilang kawalan dan melanggar kereta peronda polis dari arah belakang.
Pemandu SUV itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.