
Polis Johor menggunakan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 untuk menyiasat berita palsu yang tular mengenai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan memberi bantuan di beberapa pasar raya, semalam.
Mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan sehingga RM200 di sebuah pasaraya di Pontian dan beberapa daerah di media sosial menyebabkan keadaan kecoh.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pada jam 10 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menerima maklumat kehadiran orang ramai di pasar raya selepas mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan kepada orang ramai menjadi viral.
Katanya, hasil siasatan mendapati, mesej itu adalah palsu dan penyebaran mesej seumpamanya turut dikesan di beberapa lokasi lain di Johor.
Orang ramai menyerbu pasaraya Econsave di Pontian setelah tularnya berita kononya Tunku Mahkota Johor dikatakan akan membelanjakan sejumlah wang kepada rakyat yang berada di Econsave, Pontian semalam.
Berikutan itu, Polis katanya, menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 .
Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Seseorang boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah.
Datuk Mohd Khalil berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Datuk Mohd khalil berkata, jika kesalahan itu masih diteruskan selepas disabitkan bersalah, seseorang itu boleh didenda sehingga RM3,000 selama kesalahan masih berlaku.
Polis menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita dan jangan percaya apa yang diterima di media sosial sebelum mendapatkan kesahihan.
Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan menyebarkan laporan palsu, menyakitkan hati, jelik atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.