Home Bahasa Melayu Mangsa Ke-4 Suami Wanita Hamil

Mangsa Ke-4 Suami Wanita Hamil

Suami kepada wanita mengandung yang dijangkiti virus Zika baru-baru ini, disahkan turut dijangkiti virus itu.

Lelaki berusia 25 tahun itu dari Taman Desa Harmoni, Johor Bahru, hanya mengalami gejala ruam pada 2 September lalu dan disahkan sebagai mangsa ke-4 yang positif Zika di negara ini, selepas menjalani ujian makmal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, pesakit itu dimasukkan ke wad sebuah hospital kerajaan di Johor untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Siasatan Kementerian Kesihatan mendapati lelaki itu berulang-alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja dan tidak mempunyai kontak terdekat lain di Malaysia selain ibu mertua dan isterinya.

Aktiviti kawalan vektor di kawasan kediaman pesakit dan semua kawasan yang pernah dikunjungi pesakit di Johor telah dilakukan kementerian.

Pada 7 September lalu, isteri lelaki itu yang sedang mengandung tiga atau empat bulan, disahkan positif Zika.

Kes pertama Zika di negara ini adalah kes import dari Singapura melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang.

Manakala kes kedua adalah kes jangkitan tempatan di Sabah.