
Sebanyak satu juta usahawan digital akan diwujudkan dalam tempoh lima tahun dalam usaha negara menuju ke arah kerajaan digital.
Itu adalah antara janji yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.
BN selain itu berjanji akan merekayasakan ekosistem ekonomi digital melalui geran permulaan dan dana pembangunan teknologi.
Pelbagai aplikasi dalam talian akan ditambah selaras dengan usaha kerajaan menuju ke arah kerajaan digital termasuk memperkenalkan aplikasi ‘iKepoh’ untuk membolehkan orang awam membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui telefon pintar.