Home Bahasa Melayu Penganggur Didakwa Di Mahkamah

Penganggur Didakwa Di Mahkamah

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka atas tiga tuduhan membunuh dan dua cubaan membunuh lima keluarga angkatnya di Kampung Bertam Malim, bulan lalu.

Luqman Hadi Mustapa, 28 tahun mengaku faham terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa dengan niat membunuh Mariah Baharin, 61 tahun, Hassan Abdul Wahab, 72 dan Muhammad Taufeq, 22 tahun.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan dengan niat membunuh ke atas Nuraqedah Aeina, 24 dan Noor Hazlinda Diyana, 27 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan dalam sebuah rumah di Kampung Bertam Malim antara jam 5.50 pagi hingga 6.15 pagi, 25 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Chee Thim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.