Home Bahasa Melayu Percikan Api Dipercayai Punca Kebakaran

Percikan Api Dipercayai Punca Kebakaran

Kebakaran di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Petaling Jaya.  Foto : BBXPress
Kebakaran di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Petaling Jaya.
Foto : BBXPress

Kebakaran di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Petaling Jaya dipercayai berpunca daripada percikan api semasa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di tingkat satu bahagian luar bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Soiman Jahid berkata, bangunan berkenaan didapati menggunakan bahan pelapis iaitu ‘polyfoam’ yang mudah terbakar.

Bangunan KWSP, Jalan Gasing, di Petaling Jaya, berhampiran Lebuhraya Persekutuan terbakar kira-kira jam 12 tengah hari semalam.   Foto : BBXPress
Bangunan KWSP, Jalan Gasing, di Petaling Jaya, berhampiran Lebuhraya Persekutuan terbakar kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Foto : BBXPress

“Daripada kajian dan siasatan awal, dinding bangunan ini dipasang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak diluluskan oleh mana-mana pihak.

“Kebakaran bermula dari tingkat satu yang sedang dijalankan kerja penyelenggaraan. Ditambah pula keadaan angin serta cuaca panas yang turut menjadi pendorong kepada kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

 

 

Beliau berkata kebakaran melibatkan bahagian luar bangunan serta sebahagiannya di dalam tingkat enam bangunan itu.

Bagaimanapun kata Soiman, seramai 527 orang pekerja yang berada di bangunan itu ketika kejadian telah dikeluarkan dan ditempatkan di kawasan lapang berdekatan.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 11.52 pagi dan tiba tujuh minit kemudian,

Operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 30 minit ," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan tiada unsur jenayah dalam insiden ini.

Antara kenderaan yang terbakar dalam kejadian kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Petaling Jaya.  Foto : BBXPress
Antara kenderaan yang terbakar dalam kejadian kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Petaling Jaya.
Foto : BBXPress