Home Bahasa Melayu PPR Raya Permai Jadi Komuniti Contoh

PPR Raya Permai Jadi Komuniti Contoh

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak siang tadi melakukan tinjauan mesra ke Projek Perumahan Rakyat, PPR Raya Permai, Jalan Sungai Besi, ibu negara.

Beliau berkesempatan bertemu sendiri dengan komuniti di kawasan berkenaan yang dianggarkan seramai 4,000 penduduk.

Menerusi tinjauan mesra ini, Datuk Seri Najib melahirkan rasa bangga dapat bertemu sendiri dengan sebuah komuniti yang kecil bilangannya namun memberi impak yang besar kepada kehidupan di sekeliling mereka.

Jelas beliau, sikap dan amalan penduduk di PPR Raya Permai menjadi contoh sebuah komuniti yang mengusahakan yang terbaik terhadap persekitaran dan kemudahan yang telah diberikan.

Ini termasuk menghasilkan Projek Taman Herba Sungai Midah.

Kerjasama dan persefahaman di antara kerajaan dan komuniti seperti di PPR ini, usaha-usaha mengurangkan kadar kemiskinan negara tanpa mengira agama dan bangsa dapat dijayakan sepenuhnya.

Pembinaan kemudahan seperti tempat letak kereta bertingkat, dewan komuniti serba guna bagi beberapa PPR serta perkhidmatan bas sekolah secara percuma menunjukkan kesediaan kerajaan untuk terus meringankan beban hidup golongan sasar tersebut.

Beliau turut memuji keperibadian penduduk di sini yang menurutnya harus dicontohi kerana seluruh masyarakat juga akan menikmati manfaatnya.