Home Bahasa Melayu Seorang Pekerja Disah Alami Radang Paru-Paru

Seorang Pekerja Disah Alami Radang Paru-Paru

Seorang pekerja sebuah kilang memproses bahan kimia di Menglembu, Perak disahkan mengalami radang paru-paru akibat terhidu gas klorin selepas berlaku kebocoran gas di kilang itu, semalam.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juita Ghazalie berkata pekerja terbabit seorang lelaki kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Tambah Datuk Doktor Juita, pekerja kilang berkenaan kini menggunakan alat bantuan pernafasan.

Namun petanda penting lain seperti tekanan darah dan denyutan jantung disahkan normal.

Selain itu, seorang anggota bomba yang mengalami keletihan ketika melakukan kerja-kerja meneutralkan gas klorin berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Anggota terbabit kini dirawat di wad biasa hospital sama, namun masih diletakkan di bawah pemerhatian.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, sebuah tangki asid ferik di kilang berkenaan jatuh dan pecah.

Ini menyebabkan bahan cecair itu bercampur dengan hipoklorit pada paip seterusnya menghasilkan gas klorin.

Akibat kejadian itu, enam anggota bomba mengalami keletihan selepas memikul lima tan sodium bagi meneutralkan gas klorin yang bocor.