Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 15 April ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, AWAS adalah sistem yang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan kamera dibantu sistem teknologi maklumat untuk mengenal pasti dan mengesan pesalah jalan raya.
Melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, digantung atau batal lesen akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat.
Tambahnya, AWAS beroperasi sejak 1 April lalu, tetapi untuk tempoh 1 hingga 15 April ia hanya tempoh percubaan dan tiada pemberian mata demerit direkodkan.
Beliau berkata demikian, ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Global Badan Bukan Kerajaan (NGO) Untuk Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Kemalangan Kali Ke-5 di Sepang, Selangor.