Pengguna jalan raya yang melalui jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands dinasihatkan berhati-hati ekoran tanah runtuh di Kilometer 30, berhampiran Kampung Meter Pos Betau, Lipis.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata runtuhan di jalan itu melibatkan jarak sepanjang kira-kira 100 meter berhampiran Kampung Meter, Pos Betau, Lipis.
Satu lorong jalan yang menghala ke Cameron Highlands bagaimanapun masih boleh dilalui.
Kejadian berlaku pada Sabtu lalu sekitar jam 2.30 petang dipercayai akibat hujan lebat selama beberapa hari di lokasi.
Anggota polis dari Balai Sungai Koyan juga telah meletakkan papan tanda untuk pengetahuan pemandu.
Kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak terlibat untuk kerja baik pulih secepat mungkin.
Susulan kejadian tersebut, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan melawat kawasan tanah runtuh berkenaan. – Bernama
Seorang penunggang dan pembonceng motosikal maut selepas terjatuh dan tertimbus di dalam tanah runtuh di Jalan Marak Parak Kota Marudu-Rabau kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd. Izaan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Semua pasukan penyelamat termasuk Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kerja Raya negeri dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.
Kedua-dua mangsa iaitu penunggang Jaimin Bien, 46 tahun manakala pembonceng Edmon James, 22 tahun berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Empat buah kenderaan terjatuh di kawasan bukit kecil di Prosperous Village, Sandakan kira-kira jam 9.20 pagi tadi.
Sejurus menerima maklumat, sepasukan Polis dari ibu pejabat polis Sandakan yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Sandakan dan ASP Osman bin Ismail bergegas ke tempat kejadian.
Hasil siasatan awal , keempat-empat buah kenderaan dalam perjalanan dari arah Gereja Basel, Jalan Lintas Sibuga menuju ke rumah pengantin lelaki di kampung tersebut.
Semasa berbaris untuk menunggu giliran di tepi jalan sebelah kiri, jalan tersebut runtuh menyebabkan keempat-empat kenderaan terjatuh ke bawah anak bukit.
Bagaimanapun, kesemua pemandu serta penumpang tidak mengalami kecederaan dan hanya mengalami kerosakan di kenderaan sahaja.
Hasil pemeriksaan, jalan raya persendirian yang dibina di kampung tersebut sudah terlalu lama dan rapuh menyebabkan tidak dapat menampung berat kenderaan yang sedang berhenti di kawasan tersebut.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakui Jabatan Alam Sekitar negeri tidak menyokong projek “Granito @ Permai” di mana berlakunya kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 11 pekerja binaan.
Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagaimanapun meluluskan projek berkenaan berdasarkan ulasan dari jabatan teknikal lain yang terbabit.
Semalam, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan kesal dengan kelulusan itu kerana Jabatan Alam Sekitar memutuskan untuk tidak menyokong atas alasan tapak pembinaan terletak berhampiran kuari di atas bukit.
Kerja mencari dan menyelamat (SAR) di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di George Town dihentikan seketika bagi memberi peluang kepada Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesan mangsa yang masih tertimbus.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye bagaimanapun berkata tempoh pemberhentian SAR tersebut belum dapat ditentukan memandangkan unit tersebut memerlukan situasi yang senyap agar dapat mengesan sebarang pergerakan.
“Seramai 19 anggota Tiger Platoon Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) turut ditugaskan bagi mengesan petempatan haram berdekatan terutamanya di kawasan hutan berdekatan kerana kita khuatir berlaku pergerakan tanah sekali lagi yang membahayakan keselamatan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Katanya beberapa anggota keluarga mangsa juga sudah mulai tiba di lokasi kejadian bagi membantu pihak berkuasa menjalankan proses pengecaman sekiranya ada mayat baru ditemui.
Sementara itu Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya Erwin Galan Teruki berkata pihaknya telah membahagikan kawasan pencarian kepada tiga sektor untuk memudahkan Unit K9 menjalankan operasi.
Kejadian tanah runtuh itu dilapor pada pukul 8.57 pagi melibatkan 14 mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan tanah.
Mereka terdiri daripada seorang rakyat tempatan manakala yang lain terdiri daripada rakyat Indonesia, Rohingya dan Bangladesh.
Setakat ini, hanya tiga mayat mangsa berjaya ditemui, bagaimanapun identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.–BERNAMA