Program bersantai amal anjuran Rapid Rail Sdn Bhd hari ini diceriakan dengan kehadiran 55 badut bagi menyuntik keceriaan dalam kalangan pengguna Light Rail Transit (LRT) Laluan Kelana Jaya.
Program ini bergandingan dengan Cancer Associates & Kindred Network (CAKNE), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Muslims Clown Malaysia.
Program ‘SMILES 4 CAKNE’, yang disokong oleh para sukarelawan PPUKM, menyaksikan badut-badut berkenaan membuat persembahan di stesen LRT Masjid Jamek dan KLCC sebelum diakhiri di Stesen KL Sentral.
Semasa persembahan, kutipan derma turut dijalankan bagi mengutip derma CAKNE untuk menyokong program dan aktiviti persatuan berkenaan dalam membantu para pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga mereka.
Program ‘SMILES 4 CAKNE’ ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan oleh pengendali rel urban ini untuk menyuntik keceriaan dalam stesen.