Pagi ini (31 Julai 2017), Jabatan Akauntan Negara di Kuching, Sarawak diserbu ribuan penduduk.
Suasana ini berlaku selepas Kementerian Kewangan mendedahkan hampir RM5.8 bilion wang tidak dituntut (WTD) gagal diserahkan kepada pemilik kerana tiada tuntutan dibuat.
Perkhabaran itu menyebabkan ribuan penduduk berkunjung ke pejabat jabatan berkenaan bagi menyemak WTD masing-masing.
Ia menyebabkan aras enam bangunan Tuanku Haji Bujang di Kuching menjadi sesak.
Malah ada pengunjung yang datang seawal jam 6 pagi.
Dalam laporan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak RM5.779 bilion wang tak dituntut (WTD) masih berada dalam simpanan Bahagian WTD, Jabatan Akauntan Negara selaku pemegang amanah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata jumlah itu juga membabitkan lebih 55 juta rekod akaun seperti simpanan, semasa atau perniagaan sejak dari tahun 1977.
Katanya, sebanyak 25 kaunter Bahagian WTD disediakan di seluruh negara iaitu 13 di Semenanjung Malaysia; Sarawak (7) dan di Sabah (4) manakala sebuah kaunter baharu akan dibuka di Putrajaya.