Dah kena tipu dan rugi RM32,498.
Itu yang dialami seorang wanita selepas diperdaya seorang lelaki asing yang dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata mangsa berusia 42 tahun itu mendakwa mengenali lelaki itu kononnya dari United Kingdom sejak Julai tahun lalu.
Katanya, mangsa dijanjikan pelbagai barangan sebagai tanda persahabatan mereka.
Pada 15 Ogos tahun lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada syarikat kurier mendakwa kononnya barang dihantar kenalan lelaki itu sudah sampai tetapi, tidak boleh dilepaskan kerana mempunyai masalah kastam dan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan.
Mangsa yang terpedaya kemudian melakukan transaksi berjumlah RM32,498 ke akaun terbabit dan hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima barang terbabit.