[VIDEO] Serangan Bom Di Pasar Ragut 3 Nyawa

Sebutir bom meletup di sebuah pasar yang dipenuhi pelanggan di wilayah Yala, Thailand awal pagi tadi.

Letupan kuat bom berkenaan meragut tiga nyawa, manakala sekurang-kurangnya lapan yang lain cedera setakat ini.

Kejadian letupan berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Yala Mej Jen Krisada Jandee.

Insiden berlaku sekitar jam 6 pagi waktu tempatan di Pasar Pimonchai yang terletak di tengah-tengah bandar Yala ketika pelanggan sedang sibuk membeli barangan keperluan.

Dua daripada mangsa terbunuh di tempat kejadian, sementara seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika di hospital.

Menurut Mej Jen Krisada lagi, jumlah mangsa yang cedera dijangka meningkat.

Setakat ini belum diketahui pihak yang bertanggungjawab dan polis percaya bom berkenaan daripada jenis bom jangka.

Pergolakan bersenjata di selatan Thailand terutamanya di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat bermula awal tahun 2000 sehingga kini telah menyebabkan lebih 7,000 mangsa terbunuh manakala ribuan lagi cedera.